Monday, February 21, 2011

Imej Nabi Isa a.s Di Atas 'Shroud of Turin'???

Apa itu Shroud of Turin?

Shroud of Turin

Shroud of Turin atau Kain Kafan Turin merupakan sehelai kain yang berukuran 14'3" x 3'7" (4.36m x 1.10m) yang dipercayai ramai sebagai kain yang membaluti tubuh mayat Jesus Christ atau Nabi Isa (dikalangan umat Islam) sebaik sahaja dia disalib.  Kain tersebut antara artifak sejarah yang paling hangat diperdebatkan dan melalui proses kajian yang cukup panjang.


Misteri dan Dongeng Mengenainya...
Berdasarkan kepada penganut kristian dan mereka yang mempercayainya,  kuasa ghaib telah membawa Jesus Christ kembali hidup melalui 'kebangkitan semula Jesus Christ' dan telah membuat kesan unik susuk tubuhnya di atas kain kafan tersebut. Hingga kini ia tetap menjadi misteri.

Petikan dari dokumentari 'Shroud of Turin' 2010


Mengikut Sejarah...

Dalam tradisi penganut kristian di barat, imej wajah Jesus Christ yang tertera adalah imej Edessa dan Veronica' Veil.  Ada juga yang mengatakan bahawa imej itu terjadi semasa Jesus Christ menyapu wajahnya pada kain tersebut.  Penemuannya mula direkodkan pada tahun 1354.  Kain tersebut dipercayai disimpan oleh Pahlawan Geoffroi de Charnay, Seigner de Lirey.  Walaubagaimanapun ianya hanya dijadikan tatapan umum pada 1389 semasa Bishop of Troyes mengumumkan ianya sebagai "hasil seni seseorang yang mahir dibidangnya"

Pada tahun 1453, anak perempuan kepada Sir geoffroi, iaitu Marguerite menyerahkan kain kafan tersebut kepada House of Savoy yang bertempat di Chambery.  Kain kafan itu bagaimanapun terlibat dalam kebakaran  pada tahun 1532 dan dalam masa yang sama sedikit terjejas akibat terkena simbahan air yang digunakan untuk memadamkan kebakaran.  Kesannya dapat dilihat di setiap penjuru imej yang tertera.  Pada tahun 1578 barulah ianya dipindahkan ke Turin sehinggalah kini. 

Buat pertama kalinya imej yang tertera pada kain kafan tersebut dapat dikenalpasti pada tahun 1898 apabila seorang jurugambar Secondo Pia mengambil gambar kain tersebut.  Beliau teruja dan apabila imej dilihat dari jarak jauh, ia semakin jelas dan nampak lebih natural dalam photographic negatif.  Malah menyerlahkan kualiti gambar berbentuk 3D.  Selepas itu, kajian demi kajian dibuat oleh pelbagai pihak.


Pemeriksaan pertama yang melibatkan kain tersebut dikendalikan pada tahun 1970an dan dikenali sebagai Shroud of Turin Research Project (STURP).  Ia dikendalikan oleh sekumpulan saintis yang diketuai oleh ahli fizik John P. Jackson dari University of Colorado.  Kumpulan penyelidik ini telah berjaya mengenalpasti 'kesan' yang ada di atas kain tersebut adalah konsisten dengan sekujur tubuh manusia yang disalib dan ia dibentuk oleh kesan darah.  Imej yang ditemui oleh para penyelidik juga mengandungi imej 3 dimensi (3D) seseorang.  Namun, mereka tetap tidak dapat menerangkan bagaimana ia berlaku walaupun beberapa teori telah dikemukakan.

Pada 1988, saintis membuat sampel ujian radiokarbon. 3 makmal bebas telah membuat kesimpulan pertama bahawa  material kain tersebut adalah keluaran zaman medieval.  Kali terakhir bahan sejarah ini dipamerkan kepada umum ialah pada sedekad yang lalu yang mana seramai 3 million orang dari pelosok dunia datang ke Turin, Itali semata-mata ingin melihatnya dari  kain yang  mereka percaya membaluti susuk tubuh Jesus Christ dapat ia dilihat dengan jelas kesan darah yang membentuk  imej tubuh manusia. Kain tersebut kini tersimpan di Chapel of Shroud, Turin Itali.
Chapel of Shroud yang kini menempatkan Shroud of Turin


Imej Yang Tertera Sebenarnya Imej Wajah Leonardo Da Vinci???..


Terdapat juga teori yang menyatakan bahawa imej wajah yang tertera di atas kain kafan tersebut merupakan imej wajah pelukis terkenal di zaman Rennaisance iaitu Leonardo Da Vinci.   Menurut pakar grafik dari Sekolah Seni Visual New York, Lilian Schwartz (orang yang sama mengenalpasti imej wajah Leonardo Da Vinci pada lukisan terkenalnya 'Monalisa' pada 1980an), turut menggunakan teknologi komputer dengan teknik pertindihan imej dan mendapati bahawa imej pada kain kafan Turin mempunyai persamaan dimensi dengan Da Vinci.  Malah beliau (Schwartz) begitu gembira dengan penemuan tersebut dan secara peribadi beliau sangat yakin Shroud of Turin tidak lebih hanyalah salah satu hasil seni Leonardo Da Vinci.

Pandangan Dari Sudut Islam Bagaimana?....

Sudah tentu sebagai seorang muslim yang berpegang pada Al-Quran, teori mengenai Kain Kafan Turin tidak dapat diterima sama sekali. Ini ditegaskan oleh Allah S.W.T melalui surah An-Nisa ayat 157-158:-

"dan kerana ucapan mereka: "sesungguhnya kami telah membunuh Al-Masih, 'Isa putra Maryam, Rasul Allah", padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka.  Sesungguhnya orang-orang yang berselisih faham tentang (pembunuhan Isa,) benar-benar dalam keraguan tentang yang dibunuh itu.  Mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengkuti persangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahawa yang mereka bunuh itu adalah Isa.  Tetapi (yang sebenarnya) Allah telah mengangkat Isa kepada-Nya"

Nota: Semua yang dipaparkan ini adalah untuk tujuan perkongsian maklumat  kita bersama. Ia supaya kita tidak mudah menerima apa sahaja maklumat tanpa kita selidiki kebenarannya terutama yang membabitkan akidah sebagai seorang Islam.  Islam agama yang lengkap dengan panduan melalui Al-Quran dan hadith.  Adakala kita dapati sesuatu kejadian diterangkan dengan jelas di dalam Al-Quran walaupun Al-Quran itu telah turun berabad-abad SETELAH sesuatu kejadian itu berlaku mahupun berabad-abad SEBELUM kejadian itu berlaku.

Sekian, wassalam.


No comments:

Post a Comment